Dont Get Lost In Heaven

So pick up yourself,
It's a brand new day.

Thursday, May 23, 2013

Aku Ini Pendosa, Kak...


"Aku ni pendosa, kak"

Adikku, kau memang pendosa, aku ini pun pendosa.

"Tapi dosa aku ni dosa besar, kak. Mana mungkin aku boleh kembali ke cahaya."

Adikku, aku cakapkan sudah sebentar tadi, kita ini memang pendosa. Kau pendosa, aku pun pendosa, bahkan semua manusia di muka bumi ini. Lainlah kalau kau itu Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. itu maksum,terpelihara dari dosa, tapi kita tidak. Kita pendosa.

Rasulullah s.a.w. itu dibasuh hatinya oleh malaikat atas arahan Tuhan. Kita tidak, kita pendosa.

Maka dengan itu wahai adikku, selagi ada nyawa di badanmu, selagi bernafas kau di bumi Tuhan ini, Tuhan janjikan, pintu taubat sentiasa terbuka.

Maka dengan itu adikku, di akhirat kelak kita ditimbang amalan kita.

Jika pahala melebihi dosa, syurga janjinya.

Jika dosa melebihi pahala, neraka tempatnya.

Tapi beruntunglah kita Islam, walau ke neraka selama mana pun, akhirnya akan ke syurga juga.

Tuhan tidak pernah berkata " Wahai manusia, jika kau TIADA dosa, maka syurgalah tempatmu, Jika kau mempunyai dosa, ke nerakalah engkau." Tidak wahai adikku! TIDAK sama sekali!

Syaitan sentiasa cubamendekati kita ini adikku, kita anak-anak Adam, syaitan dah bersumpah.

Syaitan tak pernah  putus asa untuk menghasut kita melupakan Tuhan.

Sekuat manapun iman, sekali sekala tersungkur juga.

Tapi itu tak bermaksud kita patut biarkan syaitan-syaitan laknatullah itu berjaya.

Kalau tersungkur, bangun semula, tersungkur lagi, bangun lagi, kalau dah lama tersungkur tak bangun-bangun sampai sudah lupa  cara untuk berjalan, maka merangkaklah atau apa cara sekali pun cuba bangun.

Tuhan ciptakan Adam, disuruhNya sekalian semua sujud kepada Adam. Syaitan pun disuruh sujud kepada nenek moyang asal-usul umat manusia itu, dan dijadikan kita KHALIFAH di muka bumi ini. Tidakkah itu petanda bahawa kita ini mampu, bahkan amat berkuasa untuk melawan fitnah-fitnah dah hasutan syaitan laknatullah itu?

Syaitan yang disuruh sujud kepada kita itu, kenapa kita nak dengar bicara mereka melebihi apa yang Tuhan  perintah? Kita hanya disuruh sujud kepada Tuhan yang satu, ALLAH. Satu, tak ada yang lain lagi. Bukan kepada syaitan, bukan nafsu, bukan manusia, bukan alim ulamak, bukan pemerintah. TAK.

 HANYA pada ALLAH S.W.T.

"Tapi kak, aku dah hanyut jauh sangat. "

Adikku, kita ini pendosa, tapi Tuhan sayang kita, diberikan peluang dalam bentuk 'Taubat'.

Adik sedar yang adik dah hanyut jauh itupun sebenarnya satu langkah ke arah kebaikan dah tu. Orang yang buat dosa tapi tak sedar-sedar yang dia berdosa macam mana nak berubah? Sedangkan dia rasa dah dia dah ok. Sedar diri,supaya usaha nak perbaiki sentiasa ada.

Cubalah mencari kebaikan. Walau sebesar habuk sekalipun, ia dikira. Dicatatkan oleh malaikat bahawa langkah ke arah kebaikan telah dimulakan. Ya, Tuhan kita, Allah itu sangat Penyayang. Sejauh manapun kita lari, sejauh mana pun kita buang Tuhan, tapi walau selangkah kita mendekati Nya, Tuhan kira, sayangku. Tuhan kira itu sebagai kebaikan.

Kalau manusia, ada boleh buat macam tu? Hari-hari orang baling tahi dekat kita, tiba-tiba satu hari kuantiti tahi yang dibaling itu kurang sedikit.  Ada kita nak seronok? Tak. Kita tak tahu pun. Ada kita nak timbang kati tahi tu hari-hari? Sebab bagi kita tahi tetap dibaling.

Tuhan tu Maha Mengetahui. Sekecil manapun, walau niat sahaja pun, Tuhan tahu. Jadi Tuhan tahu kuantiti tahi itu dah kurang sedikit. Itu dah dikira selangkah ke arah kebaikan.

Dan target disitu tadi, berhenti baling tahi lah.

Kalau harini kau tak reti solat, esok kau intai-intai orang solat.

Kalau harini kau tak tahu membaca Al-Quran, esok kau mula dengan Alif Ba dan Ta.

Kalau hari ini kau pendosa besar, esok, kurangkan dosa, kau pendosa kecil.

Kalau hari ini kau mencuri untuk kemewahan, esok kau mencuri cukup sekadar untuk mengalas perut.

Jika hari ini kau perderhaka terhadap ibu bapa, esok, kau buang semua marah terhadap mereka.

Kalau hari ini kau penzina tanpa ragu, esok, kau penzina yang rasa berdosa.

Jika hari ini nafsu kau songsang,kau salahkan Tuhan silap menjadikan kau,esok kau cuba cari Tuhan, cari jawapan.

"Kalau sikit-sikit macam tu sampai bila-bila tak habis."

Memang. Memang dosa tetap dosa sayangku, tak ada kecuali, Tuhan dah tetapkan macam tu. Tapi semakin lama semakin kurang kan? Dan usaha kita pun dikira sebagai pahala kan?

Bukan manusia tanpa dosa yang kita impikan.

Sebab tak mungkin kita sampai ke tahap maksum cenggitu. Kita tak sempurna.

Sebab kita tak sempurnalah, kita sentiasa ada peluang nak 'improve'.

Kalau habis dosa -dosa besar ditinggalkan, usaha buang dosa yang sederhana besar pula.

Kemudian yang kecil pula.

Dan biasanya yang kecil-kecil inilah kita selalu terlepas pandang.

Contohnya buang sampah merata-rata. Remeh kan.? Kadang-kadang tak sedar pun, tapi itu dikira dosa juga. Dosa kecil.

Dan macam yang mula-mula tadi, bukan orang yang tak ada dosa yang masuk syurga, tapi orang yang pahalanya melebihi dosa.

Banyakkan membuat kebaikan, kembali pada Al-Quran dan As-Sunnah. Beratkan lagi timbangan pahala supaya melebihi dosa.

Tapi kita tak tahu berat mana dosa kita. Itu kerja Tuhan. Jadi tugas kita, kerjakan saja apa kebaikan yang termampu, cuba ikut suruhanNya, cuba tinggal laranganNya. Insyaallah, ada ganjaran.

Mudah-mudahan kebaikan yang kita buat Allah terima dan dikurniakan pahala. Yakin dengan Tuhan. Jangan  buruk sangka dengan Tuhan.

Tuhan sayang kita semua. Cari Tuhan, nanti jumpa lah semua jawapan. Terlerailah semua kusut. Tak apa, sedikit dahulu pun tak apa.

"Tapi kak, kalau Tuhan sayangkan aku, kenapa dia timpakan segala macam kesusahan ni? Kenapa aku? Kenapa bukan orang lain? Kenapa orang tak ada susah sampai macam ni pun?"

Adikku, Tuhan timpakan kesusahan itu sebab sayang lah.

Dan ketahuilah, kesusahan yang Tuhan timpakan bukan datang dalam satu bentuk saja. Setiap orang ditimpakan kesusahan yang lain-lain. Jadi kita tak ada hak untuk timbang sukat tahap susahnya kesusahan yang ditimpakan tu. Tuhan dan orang yang ditimpakan itu sahaja tahu.

"Apa kakak mengarut ni?! Dah bagi susah, tak sayang la tu."

Adik. Dengar. Adik kata adik ditimpakan kesusahan, jadi sebelum ini,  adik pernah rasa senang kan.

Masa adik rasa senang tu ada adik bersyukur setiap malam sujud ingatkan Tuhan?

Masa adik senang itu ada adik ingat Tuhan dan bersyukur sebanyak mana adik ingat Tuhan ketika ditimpa susah?

Sekerap mana adik tak puas hati konon Tuhan tak adil tu sama banyak kah dengan kekerapan syukurnya adik atas segala nikmat?

Lumrah manusia selalu lalai.

Tuhan rindu kita. sebab itulah dimusibahkan kita.

Supaya bila susahnya kita, kita ingat untuk merintih tangis kepadaNya selalu.

Bila Tuhan bagi senang, kita selalu lupa untuk bergantung, berharap dan bersyukur. Oleh itu, kesusahan yang diberi.

Bersyukurlah, dalam susah yang kita ada, kita selalu lupa nikmat-nikmat lain yang masih kita punya.

Bersyukurlah Tuhan bagi peluang untuk ingat padaNya.

Kalau Tuhan tak sayang, boleh saja macam ini, "Ah, lantaklah. Biar saja dia dalam kesenangan dunia tu tak ingat Aku. Nanti ke neraka terus." Umpamanya macam itulah.

Dan adik, tak selama-lamanya adik diberi susah. Dan tak selama-lamanya diberi senang. Tiada yang kekal selain ALLAH. Tuhan kan lebih tahu, bila yang TERBAIK untuk diberi kita senang itu. Dan bila yang TERBAIK untuk diberi susah.

Dan kakak disini pun masih jauh dari Tuhan. Masih banyak kurangnya. Kita tak banyak beza pun, sama-sama pendosa. Kakak gagahkan diri langkah satu-satu. Dan adik pun boleh. Yakin pada Tuhan ya? InsyaAllah tenang dunia akhirat.

P/s: Apa yang ditulis ini pun masih belum mampu diselitkan buktinya dari Al-Quran,ayat berapa, surah mana. Sekadar fahaman secara 'general'. Kerana kakak ini masih lagi terkial-kial cuba memahami bait-bait indah Al-Quran, apatah lagi As-Sunnah. Ya, masih MENCUBA. Jadi mana-mana yang salah di sini ,maafkanlah, tentunya dari kekurangan manusia yang menulis ini sendiri. Apa kata adik semak semula adakah benar apa yang akak fahamkan disini. Mungkin selepas ini, adik pula boleh beri pencerahan kepada kakak ini.

NOBODY IS PERFECT. AND YOU ARE NOT NOBODY. YOU ARE SOMEBODY. IMPROVE. 

No comments:

Post a Comment